Jumaat, 16 April 2010

Kaedah Baru untuk memudahkan berhubung dengan rakyat

Assalamualaikum W.B.T

Kepada semua yang melawat laman blog Dato' Mohd Kamil

anda juga boleh melawat laman sosial facebook YB Dato'Mohd Kamil di

ybdatomohdkamil@yahoo.com

terima kasih kerana memberi komen dan cadangan anda.

Isnin, 23 November 2009

sekapur sireh dari meja ADUN Gemencheh


Assalamualaikum Warahmatullahiwabarakatuh.........




Syukur ke hadrat Illahi kerana dengan limpah kurnianya serta hidayahnya,saya telah terbuka hati untuk mencari alternatif baru bagi mempertingkatkan lagi keberkesanan serta peningkatan prestasi saya di dalam mendekati seluruh penduduk Gemencheh dengan pendekatan yang berbeza iaitu secara online.Oleh itu,dengan wujudnya laman sesawang ini,saya berharap segala informasi mahupun aduan masalah dapat disampaikan secara berhemat kepada saya melalui laman ini.




wassalam.

Balai raya klinik sementara(berita harian 23/11/09)

BUKIT ROKAN: Kira-kira 4,000 penduduk Felda Bukit Rokan, di sini, tidak perlu bimbang untuk mendapatkan rawatan atau pemeriksaan perubatan walaupun klinik desa di kawasan penempatan mereka musnah dalam kebakaran, baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gemencheh, Datuk Mohd Kamil Abd Aziz, berkata kerajaan menerusi Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNS) sudah memperuntukkan sebanyak RM20,000 bagi mengubahsuai balai raya untuk dijadikan klinik sementara.

"Ini adalah usaha kerajaan bagi memastikan penduduk tidak perlu bersusah-susah untuk keluar ke Gemencheh bagi mendapatkan rawatan atau pemeriksaan perubatan," katanya ketika melawat klinik yang musnah terbakar itu.

Mohd Kamil berkata, beliau difahamkan klinik baru tetap akan didirikan di tapak asal sebaik mendapat peruntukan bagi membolehkan penduduk mendapat kemudahan rawatan yang lebih selesa.

"Saya difahamkan kebakaran klinik itu dipercayai akibat panahan petir," katanya.

Sementara itu, Mohd Kamil mengingatkan warga emas, terutama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemencheh supaya sentiasa menjalankan pemeriksaan kesihatan bagi mengelak dijangkiti penyakit berbahaya.

Beliau berkata, kebanyakan warga emas, terutama yang tinggal di kampung tidak diberikan rawatan dan pendedahan secukupnya mengenai pentingnya menjaga kesihatan diri.

sinar harian (Selasa 24-11-2009)


Pengaktifan suntik semangat murid

GEMENCHEH – Hari Anugerah Kecemerlangan Mu-rid Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Rokan, di sini, mencapai sasaran apabila seluruh murid yang berjaya dalam akademik dan kokurikulum mendapat pengiktirafan serta penghargaan pihak sekolah.

Guru Besarnya, Rofii Mohd Sharip berkata, penganjuran hari anugerah itu diadakan setiap tahun bagi memberi galakan dan suntikan semangat kepada warga sekolah supaya kejayaan dicapai dapat dijadikan sebagai penanda aras untuk mengecap kejayaan pada masa hadapan.

Menurutnya, seluruh warga SK Bukit Rokan disaran untuk menjadikan kejayaan yang diraih dalam bidang akademik mahupun kokurikulum pada tahun ini sebagai landasan memantapkan dan meningkatkan pencapaian sedia ada.

Katanya, majlis penganugerahan itu dapat melihat pencapaian kejayaan murid dan warga pendidik sama ada dari sudut akademik dan kokurikulum.

“Langkah ini bertepatan bagi mewujudkan saingan dan meningkatkan semangat dalam kalangan warga SK Bukit Rokan untuk terus berusaha.

“Saya mengucapkan tahniah kepada penerima anugerah dan berharap kejayaan diraih tahun ini dapat dikekalkan dan dipertingkatkan, manakala, kekurangan pula ditambah baik demi mencapai kecemerlangan sekolah ke peringkat tertinggi lagi,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis berkenaan.

Rofii berkata, pihaknya bersedia untuk menjadikan institusi sekolah berkenaan sebagai hak milik bersama sekali gus tidak hanya terkongkong dengan aktiviti yang membabitkan murid dan guru sahaja.

Menurutnya, sejajar dengan arus peredaran masa, pengurusan sekolah menyedari pentingnya memasyarakatkan institusi sekolah supaya lebih banyak manfaat diterima murid, guru dan penduduk setempat.

“Saya percaya usaha untuk melahirkan modal insan berkualiti dengan sahsiah diri terpuji tidak seharusnya terletak di bahu warga pendidik semata-mata.

“Melalui langkah memasyarakatkan sekolah, saya yakin usaha ini akan berjaya sekali gus memberi manfaat kepada semua,” katanya.

Sementara itu, Mohd Kamil dalam ucapannya menggesa semua pihak supaya menyedari peranan dalam menentukan hala tuju dan kejayaan murid masa kini tidak hanya terletak di bahu warga pengurusan sekolah dan guru sahaja, sebaliknya, menjadi tanggungjawab bersama.

“Masyarakat melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah perlu mempunyai komitmen tinggi untuk berganding bahu membentuk keperibadian pelajar serta anak bangsa khususnya ketika negara sedang menempuhi era globalisasi serta alaf baru mencabar.

“Saya percaya, gabungan yang mantap antara masyarakat dan pengurusan sekolah mampu memperkasakan lagi sistem pendidikan di SK Bukit Rokan sekali gus memberikan kejayaan kepada anak-anak di Felda ini,” katanya.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh, Datuk Mohd Kamil Abd Aziz; Pegawai Pelajaran Daerah Tampin, Mad Aris Aziz dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah, Muhammad Zain Abd Ghani.

Khamis, 19 November 2009

petikan dari kampungbatangrokan.blogspot.com

Kebajikan Y.B Dato' Mohd Kamil B Abd Aziz






















Pada 25hb jun 2009. Khamis petang. Sesi lawatan Y.B Dato Kamil Bin Abd Aziz ( ADUN Gemencheh ) ke rumah En Zolkepili B Md Shah yang terlantar lumpuh separuh badan di Felda Bukit Rokan.


Beliau ada Pemuda Kampung Batang Rokan yang telah berpindah ke Felda selepas bertemu jodohnya dengan Pn Norizan Bt Muhammad. Tinggal bersama 3 cahayamata dengan kehidupan yang lengkap namun, Kebahagian yang dikecapi hanya seketika, Beliau yang seketika dulu adalah seorang yang ceria, sering menggembirakan rakan-rakan sekampung mahupun sesiapa. Namun qada dan qadar telah di tetapkan olehNya. Harus lah kita redha dan berdoa sentiasa kepadanya. Tempuhilah dengan ikhlas merempuh apa juga dugaan dari Nya.


Terima kasih kepada Y.B Dato Kamil atas kesudian beliau menziarahi insan yang selalu memerlukan sokongan dan dokongan untuk menempuh kehidupan nya.


Kepada sesiapa yang sudi meluangkan masa, boleh lah menziarahi beliau di No17 peringkat 6, Felda Bukit Rokan, 73200 Gemencheh, N.S. atau hubungi beliau di talian 013 222 4342 sekira anda berniat untuk menderma.


Terima kasih juga kepada wakil-wakil kontraktor yang telah hadir bersama.

petikan dari akhbar Berita Harian (khamis 19/11/09)

Kurang didikan agama punca anak derhaka

Oleh Hussain Said

GEMENCHEH: Kegagalan ibu bapa mengseimbangkan pendidikan agama dan formal adalah antara faktor kemunculan anak derhaka atau Si Tanggang moden hari ini yang sanggup menghantar ibu bapa yang tua dan uzur ke rumah orang tua atau pusat jagaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gemencheh, Datuk Mohd Kamil Abd Aziz, berkata beliau pernah berdepan satu kes tahun lalu apabila didatangi seorang pemuda yang meminta surat sokongannya untuk menghantar ibu bapa ke rumah orang tua walaupun dia seorang yang berjaya dalam hidup.

"Saya hanya mampu menggeleng kepala, tetapi selepas memberi nasihat, akhirnya pemuda itu sedar mengenai kesilapannya, lalu tidak jadi berbuat demikian sebaliknya berjanji menjaga kedua ibu bapanya," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Bertemu Pelanggan Baitulmal dan Penyampaian Bantuan Asnaf Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemencheh di Masjid Jamek di sini. Hadir sama, Pegawai Baitulmal, Zainal Said.

Sehubungan itu, Mohd Kamil menasihatkan ibu bapa supaya turut memberi penekanan terhadap pendidikan agama kepada anak masing-masing selain mementingkan pendidikan formal di sekolah supaya anak menjadi insan sempurna serta mampu menjaga mereka apabila tua.

Katanya, ibu bapa juga perlu memantapkan penguasaan pelbagai ilmu keibubapaan bagi membimbing dan memberi panduan kepada anak yang kini terpaksa membesar dengan pelbagai cabaran gaya hidup akibat proses globalisasi.

"Kesan sampingan kepesatan pembangunan dan globalisasi menimbulkan pelbagai cabaran baru kepada ibu bapa untuk membesarkan anak masing-masing mengikut budaya serta norma kehidupan selaras dengan tuntutan agama.

"Hari ini, institusi kekeluargaan yang kukuh amat penting untuk mewujudkan masyarakat dan negara yang stabil dan harmoni, sesuai dengan kedudukan rumah tangga sebagai institusi pendidikan pertama membimbing anak-anak," katanya.

petikan dari akhbar Berita Harian (khamis 19/11/09)

Baitulmal Negeri Sembilan bantu warga miskin

Oleh Hussain Said

GEMENCHEH: Menyedari kesulitan penerima bantuan, terutama yang tinggal di kawasan pekan kecil dan pedalaman, Baitulmal Negeri Sembilan mendekati mereka dengan mengadakan Program Hari Bertemu Pelanggan di Masjid Jamek Gemencheh di sini.

Pegawai Zakat Baitulmal negeri, Zainal Said, berkata antara tujuan utama program itu ialah mendekati dan mengenal pasti penerima bantuan serta mengemas kini rekod mereka untuk memudahkan urusan.

"Kita juga membuka kaunter untuk memudahkan penerima dan orang ramai mendapatkan maklumat mengenai jenis bantuan yang disediakan Baitulmal negeri, sekali gus membolehkan mereka membuat permohonan jika layak.


"Kita juga membuka kaunter berkaitan perkhidmatan yang ditawarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) seperti perkhidmatan kaunseling dan Bahagian Penguatkuasaan untuk orang ramai mengetahui lebih jelas peranan serta perkhidmatan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian program itu yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gemencheh, Datuk Mohd Kamil Abd Aziz.

Pada majlis itu, Zainal berkata, pihaknya juga memberi bantuan bulanan kepada kira-kira 108 penerima dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemencheh yang disampaikan Mohd Kamil.

"Kita akui ramai penerima bantuan tidak mampu dan berkeupayaan untuk datang berurusan serta mendapatkan maklumat di pejabat Baitulmal. Jadi, dengan cara ini mereka dapat berbuat demikian tanpa perlu mengeluarkan kos yang besar," katanya.

Sementara itu, Mohd Kamil memuji langkah Baitulmal negeri mendekati penerima menerusi program berkenaan.

"Saya lebih suka supaya bantuan ini dapat disalurkan secara terus menerusi program begini dan bukan memasukkan dalam akaun bank setiap bulan kerana ia membolehkan kita bertemu dan bermesra," katanya.