Khamis, 19 November 2009

petikan dari akhbar Berita Harian (khamis 19/11/09)

Baitulmal Negeri Sembilan bantu warga miskin

Oleh Hussain Said

GEMENCHEH: Menyedari kesulitan penerima bantuan, terutama yang tinggal di kawasan pekan kecil dan pedalaman, Baitulmal Negeri Sembilan mendekati mereka dengan mengadakan Program Hari Bertemu Pelanggan di Masjid Jamek Gemencheh di sini.

Pegawai Zakat Baitulmal negeri, Zainal Said, berkata antara tujuan utama program itu ialah mendekati dan mengenal pasti penerima bantuan serta mengemas kini rekod mereka untuk memudahkan urusan.

"Kita juga membuka kaunter untuk memudahkan penerima dan orang ramai mendapatkan maklumat mengenai jenis bantuan yang disediakan Baitulmal negeri, sekali gus membolehkan mereka membuat permohonan jika layak.


"Kita juga membuka kaunter berkaitan perkhidmatan yang ditawarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) seperti perkhidmatan kaunseling dan Bahagian Penguatkuasaan untuk orang ramai mengetahui lebih jelas peranan serta perkhidmatan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian program itu yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gemencheh, Datuk Mohd Kamil Abd Aziz.

Pada majlis itu, Zainal berkata, pihaknya juga memberi bantuan bulanan kepada kira-kira 108 penerima dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemencheh yang disampaikan Mohd Kamil.

"Kita akui ramai penerima bantuan tidak mampu dan berkeupayaan untuk datang berurusan serta mendapatkan maklumat di pejabat Baitulmal. Jadi, dengan cara ini mereka dapat berbuat demikian tanpa perlu mengeluarkan kos yang besar," katanya.

Sementara itu, Mohd Kamil memuji langkah Baitulmal negeri mendekati penerima menerusi program berkenaan.

"Saya lebih suka supaya bantuan ini dapat disalurkan secara terus menerusi program begini dan bukan memasukkan dalam akaun bank setiap bulan kerana ia membolehkan kita bertemu dan bermesra," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Komen