Khamis, 19 November 2009

petikan dari akhbar Berita Harian (khamis 19/11/09)

Kurang didikan agama punca anak derhaka

Oleh Hussain Said

GEMENCHEH: Kegagalan ibu bapa mengseimbangkan pendidikan agama dan formal adalah antara faktor kemunculan anak derhaka atau Si Tanggang moden hari ini yang sanggup menghantar ibu bapa yang tua dan uzur ke rumah orang tua atau pusat jagaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gemencheh, Datuk Mohd Kamil Abd Aziz, berkata beliau pernah berdepan satu kes tahun lalu apabila didatangi seorang pemuda yang meminta surat sokongannya untuk menghantar ibu bapa ke rumah orang tua walaupun dia seorang yang berjaya dalam hidup.

"Saya hanya mampu menggeleng kepala, tetapi selepas memberi nasihat, akhirnya pemuda itu sedar mengenai kesilapannya, lalu tidak jadi berbuat demikian sebaliknya berjanji menjaga kedua ibu bapanya," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Bertemu Pelanggan Baitulmal dan Penyampaian Bantuan Asnaf Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemencheh di Masjid Jamek di sini. Hadir sama, Pegawai Baitulmal, Zainal Said.

Sehubungan itu, Mohd Kamil menasihatkan ibu bapa supaya turut memberi penekanan terhadap pendidikan agama kepada anak masing-masing selain mementingkan pendidikan formal di sekolah supaya anak menjadi insan sempurna serta mampu menjaga mereka apabila tua.

Katanya, ibu bapa juga perlu memantapkan penguasaan pelbagai ilmu keibubapaan bagi membimbing dan memberi panduan kepada anak yang kini terpaksa membesar dengan pelbagai cabaran gaya hidup akibat proses globalisasi.

"Kesan sampingan kepesatan pembangunan dan globalisasi menimbulkan pelbagai cabaran baru kepada ibu bapa untuk membesarkan anak masing-masing mengikut budaya serta norma kehidupan selaras dengan tuntutan agama.

"Hari ini, institusi kekeluargaan yang kukuh amat penting untuk mewujudkan masyarakat dan negara yang stabil dan harmoni, sesuai dengan kedudukan rumah tangga sebagai institusi pendidikan pertama membimbing anak-anak," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan