Isnin, 23 November 2009

Balai raya klinik sementara(berita harian 23/11/09)

BUKIT ROKAN: Kira-kira 4,000 penduduk Felda Bukit Rokan, di sini, tidak perlu bimbang untuk mendapatkan rawatan atau pemeriksaan perubatan walaupun klinik desa di kawasan penempatan mereka musnah dalam kebakaran, baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gemencheh, Datuk Mohd Kamil Abd Aziz, berkata kerajaan menerusi Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNS) sudah memperuntukkan sebanyak RM20,000 bagi mengubahsuai balai raya untuk dijadikan klinik sementara.

"Ini adalah usaha kerajaan bagi memastikan penduduk tidak perlu bersusah-susah untuk keluar ke Gemencheh bagi mendapatkan rawatan atau pemeriksaan perubatan," katanya ketika melawat klinik yang musnah terbakar itu.

Mohd Kamil berkata, beliau difahamkan klinik baru tetap akan didirikan di tapak asal sebaik mendapat peruntukan bagi membolehkan penduduk mendapat kemudahan rawatan yang lebih selesa.

"Saya difahamkan kebakaran klinik itu dipercayai akibat panahan petir," katanya.

Sementara itu, Mohd Kamil mengingatkan warga emas, terutama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemencheh supaya sentiasa menjalankan pemeriksaan kesihatan bagi mengelak dijangkiti penyakit berbahaya.

Beliau berkata, kebanyakan warga emas, terutama yang tinggal di kampung tidak diberikan rawatan dan pendedahan secukupnya mengenai pentingnya menjaga kesihatan diri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan