Isnin, 23 November 2009

sinar harian (Selasa 24-11-2009)


Pengaktifan suntik semangat murid

GEMENCHEH – Hari Anugerah Kecemerlangan Mu-rid Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Rokan, di sini, mencapai sasaran apabila seluruh murid yang berjaya dalam akademik dan kokurikulum mendapat pengiktirafan serta penghargaan pihak sekolah.

Guru Besarnya, Rofii Mohd Sharip berkata, penganjuran hari anugerah itu diadakan setiap tahun bagi memberi galakan dan suntikan semangat kepada warga sekolah supaya kejayaan dicapai dapat dijadikan sebagai penanda aras untuk mengecap kejayaan pada masa hadapan.

Menurutnya, seluruh warga SK Bukit Rokan disaran untuk menjadikan kejayaan yang diraih dalam bidang akademik mahupun kokurikulum pada tahun ini sebagai landasan memantapkan dan meningkatkan pencapaian sedia ada.

Katanya, majlis penganugerahan itu dapat melihat pencapaian kejayaan murid dan warga pendidik sama ada dari sudut akademik dan kokurikulum.

“Langkah ini bertepatan bagi mewujudkan saingan dan meningkatkan semangat dalam kalangan warga SK Bukit Rokan untuk terus berusaha.

“Saya mengucapkan tahniah kepada penerima anugerah dan berharap kejayaan diraih tahun ini dapat dikekalkan dan dipertingkatkan, manakala, kekurangan pula ditambah baik demi mencapai kecemerlangan sekolah ke peringkat tertinggi lagi,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis berkenaan.

Rofii berkata, pihaknya bersedia untuk menjadikan institusi sekolah berkenaan sebagai hak milik bersama sekali gus tidak hanya terkongkong dengan aktiviti yang membabitkan murid dan guru sahaja.

Menurutnya, sejajar dengan arus peredaran masa, pengurusan sekolah menyedari pentingnya memasyarakatkan institusi sekolah supaya lebih banyak manfaat diterima murid, guru dan penduduk setempat.

“Saya percaya usaha untuk melahirkan modal insan berkualiti dengan sahsiah diri terpuji tidak seharusnya terletak di bahu warga pendidik semata-mata.

“Melalui langkah memasyarakatkan sekolah, saya yakin usaha ini akan berjaya sekali gus memberi manfaat kepada semua,” katanya.

Sementara itu, Mohd Kamil dalam ucapannya menggesa semua pihak supaya menyedari peranan dalam menentukan hala tuju dan kejayaan murid masa kini tidak hanya terletak di bahu warga pengurusan sekolah dan guru sahaja, sebaliknya, menjadi tanggungjawab bersama.

“Masyarakat melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah perlu mempunyai komitmen tinggi untuk berganding bahu membentuk keperibadian pelajar serta anak bangsa khususnya ketika negara sedang menempuhi era globalisasi serta alaf baru mencabar.

“Saya percaya, gabungan yang mantap antara masyarakat dan pengurusan sekolah mampu memperkasakan lagi sistem pendidikan di SK Bukit Rokan sekali gus memberikan kejayaan kepada anak-anak di Felda ini,” katanya.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh, Datuk Mohd Kamil Abd Aziz; Pegawai Pelajaran Daerah Tampin, Mad Aris Aziz dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah, Muhammad Zain Abd Ghani.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan