Khamis, 19 November 2009

petikan dari Akhbar Sinar Harian (jumaat 20/11/09)


GEMENCHEH – Tindakan segelintir masyarakat setempat mengambil kesempatan di atas keprihatinan kerajaan diselar wakil rakyat kawasan sekali gus berharap mentaliti terbabit dapat diubah ke arah positif.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh, Datuk Mohd Kamil Abd Aziz berkata, usaha kerajaan membantu masyarakat melalui penyampaian sumbangan daripada jabatan atau agensi bertanggungjawab seakan disalah ertikan.

Menurutnya, sikap sesetengah masyarakat yang suka menggelar diri sebagai miskin dan terlalu bergantung harap kepada kerajaan walaupun sudah hidup selesa perlu diubah bagi memberi laluan untuk golongan sewajarnya mengisi slot menerima bantuan.

“Kita sedia maklum bahawa sejajar dengan gagasan 1Malaysia, kerajaan komited membantu seluruh golongan masyarakat yang memerlukan secara sama rata melalui jabatan bertanggungjawab dengan harapan ia dapat dirasai semua demi kesejahteraan bersama.

“Bagaimanapun, agak menyedihkan kerana masih terdapat segelintir masyarakat yang sudah hidup senang dan selesa masih membuat permohonan bantuan sumbangan khususnya untuk ibu bapa mereka walaupun berkemampuan menanggung golongan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Program Hari Bertemu Pelanggan Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) dan Majlis Penyampaian Bantuan Asnaf Daerah Tampin bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemencheh di Masjid Jamek Gemencheh Lama, di sini, kelmarin.

Hadir sama, Pegawai Zakat Mains, Zainal Said; Timbalan Mufti Kerajaan Negeri, Norazmir Alias dan Penghulu Mukim Gemencheh, Zainala’riffin Salleh.

Pada majlis itu, seramai 100 penerima menerima bantuan kewangan dan barang keperluan daripada Mains, di samping penyediaan gerai pameran berinformasi oleh agensi serta jabatan kerajaan.

Sementara itu, Kamil berkata, perkara ini perlu diubah kerana kerajaan tidak mahu berlaku keciciran dalam kalangan golongan yang benar-benar memerlukan bantuan akibat sikap tamak segelintir pihak berkenaan.

“Masyarakat yang masih mempunyai mentaliti berkenaan diharapkan dapat mengubah persepsi itu bagi membantu kerajaan merealisasikan hasrat membasmi miskin tegar menjelang 2010.

“Ibu bapa seharusnya memainkan peranan dan tanggungjawab memberikan pendidikan secara sempurna kepada anak-anak supaya golongan terbabit mampu menjadi pelindung keluarga ketika dewasa,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya masyarakat dapat mengubah mentaliti ini dengan bersikap lebih bertanggungjawab menanggung keluarga yang memerlukan, hasrat kerajaan untuk membasmi miskin tegar menjelang tahun depan mampu terlaksana.

Tiada ulasan:

Catat Komen