Khamis, 5 Mac 2009

Petikan Keratan Akhbar Sinar Harian (6/3/2009) Berhubung Balas Kenyataan Akhbar Pada Tarikh (5/3/2009)

KENYATAAN KETUA KAMPUNG SATU TUDUHAN LIAR

TAMPIN – Seluruh penduduk sekitar Kampung Felda Bukit Jalor, Gemencheh, disarankan supaya terus memberi sokongan padu kepada kerajaan demi kesejahteraan bersama.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gemencheh, Datuk Mohd Kamil Abdul Aziz, berkata, terdapat pelbagai pembangunan prasarana serta infrastruktur yang sudah disediakan oleh pihak kerajaan demi kesenangan penduduk kampung.

Beliau berkata, kenyataan ketua kampung, Jahimi Md Jan, pada keratan akhbar Sinar Harian, kelmarin adalah tidak benar dan bersifat tuduhan liar.

“Saya menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan dan menangkis segala tohmahan yang dibuat oleh pihak terbabit. Beliau tidak seharusnya mempersalahkan orang lain atas kegagalan melakukan tanggungjawab sebagai ketua kampung.

“Realitinya, beliau adalah ketua kampung yang tidak disenangi oleh penduduk dan tidak menjalankan tanggungjawab dengan sempurna. Beliau juga berang dan tidak berpuas hati kerana penduduk setempat enggan melantiknya sebagai ketua kampung pada penggal yang baru,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mohd Kamil berkata, terdapat pelbagai kemajuan dan pembangunan yang sudah dilakukan oleh kerajaan negeri yang dipimpin oleh Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, proses pembinaan balai raya yang dicanangkannya, kini, sedang dalam proses mendapat kelulusan peruntukan daripada pihak Felda.

“Selain itu, jalan pintas dari Bukit Jalor ke Gemas juga gagal untuk dilaksanakan kerana tidak sesuai untuk keselamatan pengguna jalan raya.

“Peruntukan daripada kerajaan negeri sudah dipohon untuk pembinaan balai raya manakala, pihak Felda pula sedang memproses untuk meluluskan permohonan yang sama.

“Pembinaan jalan pintas itu juga terpaksa dihentikan kerana jalan itu akan melalui Pusat Fidlot Nasional, Gemas yang menempatkan 20,000 ekor lembu. Selepas diteliti dan dikaji, pembinaan jalan itu mampu mengundang penyakit lembu kepada pengguna yang menggunakan laluan,” katanya.

Beliau berkata, segala tindakan yang dilakukan kerajaan mempunyai kesan positif pada masa depan.

“Kerajaan melakukan segalanya untuk masyarakat khususnya penduduk Felda Bukit Jalor kerana mereka adalah aset kepada Gemencheh.

“Saya berharap, pihak terbabit dan pembangkang dapat melihat sendiri kemajuan dan kewujudan infrastruktur yang sudah disediakan oleh kerajaan. Janganlah mengadu domba dan menyalahkan orang lain sekiranya kesalahan itu terletak pada diri sendiri,” katanya.

Terdahulu, ketua kampung Felda Bukit Jalor, Jahimi Md Jan menggesa kerajaan supaya menunaikan janji dan kerap turun padang untuk mengetahui kekurangan dan masalah rakyat.

-sinar harian-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan